Sign In
Web Creator

PERSEMBAHAN ORKESTRA KEBANGSAAN 2025

DSC02373.JPG

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menganjurkan Persembahan Orkestra
Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada hari Sabtu, 27 Disember 2025 bersamaan 6 Rejab 1447 Hijrah, bertempat di kawasan Pusing Keliling berhadapan Bangunan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan.

Persembahan Orkestra Kebangsaan ini merupakan antara pengisian baharu yang diketengahkan dan julung kali diadakan sebagai sebahagian daripada acara Brunei December Festival 2025. Penganjurannya bertujuan untuk memeriahkan suasana negara melalui pengisian seni, budaya dan hiburan yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Acara berkenaan menampilkan sebanyak 15 buah lagu yang merangkumi pelbagai ritma dan genre muzik yang dipersembahkan oleh seramai 80 orang pemain orkestra tempatan dengan iringan 5 orang penyanyi undangan, mewakili Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pasukan Polis Diraja Brunei; Senandung Budaya di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Radio Televisyen Brunei; serta Kumpulan Muzik Belia Sireh. Persembahan tersebut turut diserikan dengan tarian oleh 16 orang penari, yang menyajikan gabungan elemen muzik dan tarian yang tersusun, dinamik dan berwarnawarni, serta menonjolkan kekayaan seni dan budaya Negara Brunei Darussalam. 

Keunikan persembahan ini terserlah melalui penganjuran suasana terbuka di Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan, yang disusun dengan perancangan teknikal yang rapi, merangkumi susun atur pentas dan sistem bunyi secara professional, dan pencahayaan yang disesuaikan, bagi memastikan kualiti persembahan yang jelas, seimbang dan selesa untuk dinikmati oleh para penonton.  

Penganjuran Persembahan Orkestra Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ini adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa seni muzik dan kreatif tempatan, memupuk penghayatan seni dan budaya dalam kalangan masyarakat, serta menyediakan platform hiburan berkualiti tinggi yang inklusif. Di samping itu, penganjuran ini turut menggalakkan penglibatan masyarakat serta memperkukuhkan apresiasi terhadap seni persembahan tempatan di samping usaha memelihara, mempromosikan dan memperkukuh pembangunan industri seni dan budaya negara. ​

DSC02331.JPGDSC02345.JPGDSC02372.JPG
 

Created at 15/04/2026 2:55 PTG by syamsul.takong
Last modified at 15/04/2026 2:59 PTG by syamsul.takong
Berita Terkini //